raya, tips

Pesanan di hari raya

Sekejab saja masa berlalu, dah pun hampir sebulan berpuasa. InsyaAllah lagi sehari dua beraya. Semoga segala amal, segala perbuatan kita sepanjang Ramadan dapat kita kekalkan selepas ini. Sebelum raya, Chik Tie nak kongsi sama-sama tips ceria, gembira, dan bahagia di hari raya. Pesanan untuk diri sendiri juga dan dikongsi bersama untuk bacaan kawan-kawan.

Pesanan di hari raya.

Pesanan di hari raya

Pesanan di hari raya 1: Raya biar sederhana tapi meriah penuh syukur


Bersederhanalah dalam membuat persiapan raya. Boleh saja beli baju baru, itu ini baru, cuma berbelanjalah ikut kemampuan kita. Ingat, selepas raya seandainya dipanjangkan usia, kita masih ada penghidupan nak diteruskan. Kita masih kena isi minyak kereta, kita masih kena belanja keperluan harian kita dan anak-anak. Jadi, hitung-hitunglah belanja kita sekadarnya saja. Jangan terlalu fikir apa yang orang kata sehingga menyiksa diri kita sendiri. (Belajar dari pengalaman Chik Tie sendiri).Tak semestinya setiap kali raya kita nak beli langsir baru, perabot baru, dan tukar itu ini di rumah. Sekiranya mampu, dan telah menabung, silakan. Tak salah. Tapi sekiranya sehingga bergolok gadai itu ini, ada baiknya kita tangguhkan dulu niat. Nanti dah cukup tabungan, kita masih boleh tukar. Jadi tetaplah bersederhana untuk kegembiraan di kemudian hari. Yang penting, jangan lupa bersyukur.

Pesanan di hari raya 2: Berat sama dipikul ringan sama dijinjing di hari raya

Balik raya beramai-ramai bersama keluarga adalah masa yang dinanti-nantikan. Dapat berkumpul bersama mengembalikan nostalgia dulu-dulu sangat membahagiakan. Jadi, janganlah kita rosakkan kegembiraan itu dengan saling terasa hati, bertingkah siapa yang buat kerja, siapa yang tak buat kerja. Eloknya sama-samalah bantu membantu untuk selesaikan kerja-kerja rumah.Kalau tak pakar di dapur, bolehlah bantu berkemas, sapu apa yang patut. Bersenang hati buat kerja sama-sama. Buat kerja atas dasar amanah, dan tanggungjawab yang membahagiakan. Kita penat pun sehari dua ni saja, nanti balik rumah sendiri bolehlah kita melepaskan lelah. Gitu. Jangan pulak kita sindir menyindir, nanti wujud suasana tak seronok.  Sepatutnya raya kan kita seronok, rasa gembira. Boleh minta tolong elok-elok. Kadang-kadang ada orang nak tolong, tapi tak tahu nak tolong apa. Jadi, sama-samalah kita bertolenrasi. Yang tak tahu buat apa tu pun, jangan segan segan nak tanya. Nampak tak pandai tak apa, asal jangan tak nak usaha. 😛

Pesanan di hari raya 3: Raya bukan tempat untuk bertanding dan berbanding

Hari raya bukan hari perlumpaan.  Bukan hari kita tunjuk baju siapa paling meletop, siapa bagi duit raya paling banyak, siapa yang paling banyak keluarkan belanja, bukan pertandingan deko rumah siap paling mewah dan cantik, (yang penting kemas dan bersih), bukan masa untuk bandingkan rumah dan kereta siapa paling besar.Raya juga bukan masa untuk kita banding beza kan rupa paras, saiz badan, warna kulit, pangkat darjat, bilangan anak, dan itu ini. Raya adalah hari kita bersyukur. Hari kita raikan kemenangan dengan rasa bahagia dan berkongsi rasa gembira.

Pesanan di hari raya 4: Raya masa untuk mentautkan ukhwah,bukan menjauhkan

Jaga lidah, jaga mata, jaga telinga, jaga tingkah laku kita. Jangan terlalu seronok berbicara, sehingga melukakan hati orang. Hari yang sepatutnya merapatkan ukhawah, jadi hari yang membuatkan sedara mara terasa hati, dan makin menjauh. Nanti tahun seterusnya dah rasa tak seronok nak jumpa. Bukan ke itu merugikan. Tak pasal-pasal dah merenggangkan hubungan antara keluarga, dan kenalan.Jadi berbicara dengan seadanya, sederhana, dan membahagiakan. Biarkan ucapan kita menjadi kenangan indah dalam kunjungan hari raya. Jadi bila lepas raya, nak kunjung mengunjung lagi pun tak adalah rasa segan dan tak gembira.

Pesanan di hari raya 5: Gembira di hari raya pada landasan

Hari raya mestilah kita gembira. Apa lagi kalau dah jumpa keluarga, kawan, dan kenalan yang sekali sakala dapat berkumpul.  Tapi, dalam kegembiraan kita ayuh kita betulkan amalan kebiasaan masyarakat kita yang kadang terlepas pandang dek keseronokan dan keterujaan kita dalam meraikannya. Moga Aidilfitri kali ini kita sama-sama dapat :* Menjaga waktu solat.* Menjaga adab pergaulan ketika menziarahi sanak saudara dan rakan-rakan.
* Tidak bersalaman dengan bukan mahram.
* Memakai pakaian yang menutup aurat dan tidak berlebih-lebihan
* Bersederhana dalam berhibur.

Pesanan di hari raya 6: Duit raya

* Betulkan niat untuk bagi duit raya. Bukan untuk bertanding siapa yang bagi jumlah duit raya yang banyak.  Berilah ikut kemampuan kita. Jangan fikir orang mengata, dan jangan mengata.
* Utamakan pemberian duit raya kepada golongan yang berhak dan memerlukan.
* Jangan ungkit pemberian duit raya, contohnya “Aku bagi Rm 10 pada anak dia, eh eh dia bagi RM 1 je kat anak aku. Kedekutnya” Jangan cakap macam tu okay.
* Pesan pada anak-anak supaya tidak buka sampul duit raya depan orang, tunggu sampai balik rumah. Ya, budak budak bukan mudah kita nak fahamkan, tak apa, teruskan pesan nanti lama lama mereka terbiasa. Dah tahu tanggungjawab mereka.
* Pesan juga pada anak-anak supaya tidak menyebut jumlah pemberian duit raya orang. Janganlah pula tetiba anak-anak cakap ” Eleh, sikitnya duit raya. Seringgit je”

Pesanan di hari raya 7 :Tetamu datang beraya disambut gembira, tuan rumah dihormati

Tetamu datang bawa rezeki.  Itulah pesanan allahyarhamah nenek Chik Tie. Sambutlah tetamu dengan baik, dengan layanan yang sebaiknya.  Gembirakan tetamu, insyaAllah ada kebahagiaan juga buat kita.  Namun, sebagai tetamu kita pun kena pandailah bawa diri. Hormati juga tuan rumah. Jaga adab bertandang. Mudahkan urusan tuan rumah, kita pun akan tenang dan gembira.  Antaranya;* Cuba sehabis daya untuk jaga kekemasan, dan kebersihan rumah yang kita kunjungi.
* Bila perlu tukar lampin, cuba sebaiknya untuk tidak tinggalkan sisa -sisa tu pada tuan rumah. Kalau perlu tinggalkan, pastikan ikat kemas kemas, (sekarang ada plastik sampah wangi tu, boleh bawa siap-siap). Jangan sesekali tinggalkan dalam tandas, atau tinggalkan dengan sisa-sisa makanan tuan rumah.

Pesanan di hari raya 8 : Jalan raya bukan litar

Hati-hati memandu.  Jangan jadikan jalan raya sebagai litar lumba.  Atau sebagai tempat bersantai-santai. Patuhi apa yang ditetapkan.  Jangan memotong di tempat bahaya, terutama pada lorong memotong kenderaan dari arah bertentangan. Hari tu berdebar jantung bila Chik Tie tengah memotong di lorong memotong, tiba tiba ada kenderaan dari arah bertentangan memotong pada lorong kami. Alhamdulillah Allah selamatkan perjalanan kami. Jadi berhati-hatilah memandu, jangan pentingkan diri sendiri saja. Jangan jadikan raya sebagai kenangan buruk yang kita sesalkan kemudian harinya.

Pesanan di hari raya 9: Pesan dari Persatuan Bayi seluruh dunia untuk hari raya

*Jika demam, selsema, sakit mata, atau tidak sihat, jarakkan diri daripada bayi. Antibodi bayi tidak kuat, jadi kita tidak tahu apa kesannya pada bayi.
* Sekiranya anda merokok atau baru selesai merokok, jangan terus sentuh atau gendong bayi. Bebaskan diri daripada kesan asap rokok terlebih dahulu.
* Jangan cium atau gomol kami semahu hati anda. Terutama dengan make up yang indah di wajah.
* Jangan suap kami sesuka hati dengan makan dan minum. Minta kebenaran ibu bapa kami terlebih dahulu.

Pesanan di hari raya 10 : Soalan dan Jawapan rutin hari raya

” Bila nak kahwin? Bila nak dapat anak? Kenapa kahwin lama dah tapi tak dapat dapat lagi anak? Kenapa kerja sama je? Gaji rendah” dan sebagainya.Itu antara soalan-soalan yang terus ke jantung terutama ketika hari raya. Bawa bertenang dan bersabar dalam menjawab soalan-soalan sebegini. Jawablah dengan penuh hikmah, paling tidak pun ucaplah insyaAllah, alhamdulillah, dan senyumlah. Kalau tak mampu menahan sabar, berlalulah dengan cara baik. Semoga yang tanya soalan-soalan macam ni nantinya akan sedar kesilapan mereka.

Semoga kita semua dapat berhari raya dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Jauhi perkara-perkara negatif, sebarkan kebaikan buat semua.  Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah, dan yang buruk itu atas kelemahan Chik Tie sendiri dengan izin Allah. Semoga kita sentiasa berpeluang untuk memperbaiki diri kita ke arah yang lebih baik.

Pesanan di hari raya

Selamat Hari raya semua,
Ingatan tulus ikhlas,

Siti Nurhayati Dollah
www.chiktie.com

Jemput like page chiktie di facebook

Jom Kongsi Artikel Ini

Author: Chik Tie

Dengan tulisan, ku bangunkan semangat, ku resapkan kata hikmah. Agar aksara yang ku atur, adalah suatu tuntunan jiwaku dan buat semua yang punya jiwa. Selamat berkenalan semua. Chik Tie dari Kelantan. Kini menetap di Terengganu.

8 Comments on “Pesanan di hari raya

  1. selamat hari raya singgah sini, setuju semua point tu .. hari raya ni sama – sama lah kita jaga hati adik beradik pakcik makcik saudara mara kita yang lain..

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.