Jom Kongsi Artikel Ini

Asalamualaikum. Selamat sejahtera. Selamat berpuasa di hari ke 11, Ramadan 1439H.  Hari ni Chik Tie sampai terlajak awal di pejabat. Sambil tunggu orang buka pejabat tu, sempatlah mencoret sikit. Tiba-tiba terfikir tentang kejayaan.  Iyalah, tiap individu punya impian, dan usaha untuk berjaya.  Cuma kejayaan bagi tiap individu itu tak semestinya sama.

Kejayaan adalah sesuatu yang tidak hanya diukur dengan jumlah A, tidak juga bilangan pungutan markah keseluruhan yang tinggi, tidak dengan kedudukan pangkat, kekayaan, dan sijil akademik semata. Kejayaan itu luas pengertiannya, dan berbeza mengikut individu.

Kejayaan bagi kanak-kanak berbeza dengan kejayaan bagi orang dewasa. Kanak-kanak merasakan diri mereka berjaya apabila mereka mendapat apa yang mereka inginkan. Contohnya dapat kebenaran makan ais krim, atau berjaya pujuk ibu bapa belikan mainan baru.

Bagi pelajar, kejayaan yang mereka mahukan adalah mendapatkan keputusan yang terbaik dalam peperiksaan.  Ibu bapa akan sanggup membelanjakan wang untuk menghantar anak-anak ke kelas tambahan, dan membeli keperluan belajar anak-anak. Semuanya dilakukan untuk memastikan anak-anak mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang.

Pelajar-pelajar universiti pastinya merasakan mereka berjaya setelah menamatkan pengajian dan berjaya bergraduasi.  Ada yang berpuas hati pada peringkat diploma. Ramai yang menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.  Semuanya dilakukan untuk mencapai kejayaan dan kepuasan diri pada tafsiran orang sekeliling dan diri mereka sendiri.

Kejayaan bagi orang yang berkerjaya pula apabila mencapai kecemerlangan dan pangkat dalam kerjaya yang mereka ceburi.  Peningkatan dalam kerjaya, memberi kepuasan kepada mereka yang berusaha memiliki kejayaan dalam kerjaya mengikut tafsiran mereka.

* Walau apa pun tafsiran kejayaan yang kita fahami,  yakinlah bahawa bukan hanya  kebendaan, keputusan akademik, dan pangkat yang membuatkan kita dikatakan sudah berjaya. Usaha, usaha, usaha, dan tawakal merupakan kunci kejayaan.

* Jika hari ini kita berusaha tetapi masih belum berjaya, percayalah itu bukanlah kegagalan tetapi kejayaan yang tertangguh.

Artikel Ditulis Oleh Chik Tie
Dengan tulisan, ku bangunkan semangat, ku resapkan kata hikmah. Agar aksara yang ku atur, adalah suatu tuntunan jiwaku dan buat semua yang punya jiwa. Selamat berkenalan semua. Chik Tie dari Kelantan. Kini menetap di Terengganu.

Leave a Comment




This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.